Tuesday, October 28, 2008

SEBUAH JANJI,,

SEBUAH JANJI

Setiap orang mempunyai kisah hidup masing-masing bergantung pada keadaan samada best ke tak best sejarah hidup korang. Kisah hidup aku ni pun takdelah sebest mana cuma sekadar untuk hiburan di waktu lapang aje. Alah macam makan kudap-kudap. Aku dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga yang nak dikatakan kaya tu taklah jugak tapi nak kata miskin papa kedana pun tak jugak cuma cukuplah nak makan, setakat kais pagi makan petang, kais petang simpan untuk makan pagi esok pulak tapi takdelah sampai tahap kebulur. Taraf pendidikan aku pun tak setinggi mana sekadar memperolehi sijil SPM dengan pangkat 3 yang kebanyakannya lebih banyak nombor 7, 8 dan 9. Aku pun tak tahu apasal yang banyak sangat nombor macam tu kat sijil aku. Mungkin jugak diorang takde semangat nak bagi nombor yang lawa sikit kot. Tapi takpelah sekurang-kurangnya aku dah pun berusaha tapi nak buat macamana kalau tak berjaya jugak mungkin nasib masih tak menyebelahi aku. Berbekalkan semangat dan muka yang agak tebal sedikit, aku mula menjual air tebu di simpang jalan masuk kampung aku. Mula-mula perjualan air tebu aku tidak mengalakkan ditambah pulak dengan keadaan cuaca yang tak begitu mengizinkan. Yalah sapa yang nak beli air tebu aku kalau dah seharian hujan terun tak henti-henti. Takpelah first time biasalah.
Setelah berehat dengan agak lama untuk memberi laluan pada hari hujan akhirnya aku pun start jual balik air tebu kat simpang jalan masuk kampung aku. Cuaca begitu memberangsangkan dengan panas yang agak terik membolehkan gerai aku menjadi tumpuan yang sungguh hebat. Baru orang tahu betapa sedapnya air tebu yang jual. Punyalah sedap sampaikan menjilat ibu jari kaki itupun kalau ada yang tumpahlah dekat kaki kalau takde taklah orang sampai menjilat kat ibu jari kaki. Kalau dulu masa aku mula-mula jual yang laku cuma satu balang aje lagi 2 balang aku paksa adik-adik aku yang minum sampai naik biru muka nak habiskan 2 balang tu. Akibatnya esok adik aku tak dapat pergi sekolah kerana cirit birit. Mengingatkan tu semua buat aku tersenyum. Tapi sekarang ni perjualan air tebu aku sudah mencecah tahap maharaja hebatnya. 4 balang yang aku hasilkan semuanya habis, tak menang tangan aku dibuatnya. Sampaikan aku terpaksa mengupah seorang pekerja lagi untuk menolong aku tapi bukan menolong bab duitlah hanyalah menolong bab mengisi air baik dalam plastik mau pun dalam gelas. Semua orang memuji air tebu yang aku buat, punyalah bangga sampaikan hidung aku mengembang pun aku tak sedar nasib baik sempat control.
Sampaikan minah-minah kilang tu asyik dok lepak aje kat gerai air tebu aku, semata-mata kerana nak minum dan merasa kelazatan air tebu aku ni. Kadang-kadang tu berbakul-bakul pujian yang aku terima sampai naik merah muka aku menahan pujian yang semakin hari semakin melambung ni. Pernah satu ketika berlaku rusuhan kat gerai aku hanya kerana berebutkan air tebu yang dah tinggal hanya beberapa cawan aje lagi. Nasib baik tak berlaku kemalangan jiwa yang teruk kalau tak dengan aku sekali pergi kebalai. Kadang tu tumbuh jugak perasaan riak dan takbur dalam hati aku. Sapa yang tak bangga kalau hari-hari orang dok berebutkan air tebu aku. Bangga beb...
Dari gerai yang kecik aku dah ubahnya menjadi sebuah kedai. Duit masa tu toksah cakaplah. Selak duit baru nampak aku. Uh! Korang bayangkan sendiri betapa kayanya aku masa tu. Masa tu saham aku cukup tinggi, ramailah anak-anak dara kat kampung ni nak mengurat aku tapi sorry aku tak berminat langsung kearah itu. Bukan tak berminat langsung tapi belum bersedia lagipun diorang ni masa aku dah banyak duit nilah baru nak pandang muka aku dulu masa aku sengkek sebelah mata pun tak nak pandang.
Satu hari masa aku balik kat rumah mak aku cakap ada orang datang meminang aku. Terperanjat beruk aku. Beruk pun tak terperanjat macam aku. Tak logik langsung. Aku tanya mak aku sapa? Mak aku kata alah makcik kat simpang baruh tu. Ooo...baru aku teringat makcik gemuk tu. Hmmm....anaknya boleh tahan juga tapi no way!! Dulu masa aku nak mengurat anaknya dulu bukan main lagi jual mahal siap tunjuk penyapu lidi lagi kat muka aku. Sampai mati pun aku takkan lupa kejadian yang begitu mengaibkan walaupun penyapu lidi tu mak aku yang jual. Sekarang mentang-mentanglah aku dah banyak duit muka aku yang tak hensem ni pun dikatakan hensem macam Jonny Deep. Aku ni pulak pantang aje kalau ada orang puji aku mulalah hidung ni mengembang aje macam taruk bikarbonat pulak. Ahmad Nisfu pun kalah. Terangkat habis.
Oleh kerana duit aku banyak sangat aku dengan bongkak, riak, takbur dan seangkatan dengannya telah membeli sebuah kereta yang mampu membuatkan tuk penghulu kampung aku cirit buih. Mau tak cirit buih dulu bangga sangat kononnya kat dalam kampung ni hanya dia sorang aje yang mampu pakai kereta nah... sekarang baru terjojol biji matanya. Baru dia kenal sapa aku. Masa aku bawak balik kereta semua orang pandang aku. Anak-anak dara yang berselisih dengan aku bukan main lagi buat ayu tapi sorry tak pandangnya aku. Tak tergoda langsung, yang aku pandang mungkin kalau yang cantik macam Jennifer Lopez ke, Nicole Kidman ke. Itu baru betul walaupun mungkin juga diorang tak pandang muka aku. Saja je kereta ni aku bawa slow bukan apa nak menayang. Lubang hidung aku masa tu toksah cakaplah dah tahap stereng dah besarnya sampaikan aku sendiri pun dah tak mampu nak mengcontrol kekembangan hidung aku ni.
“Pon....Pon.....Chewah!! aku turun dengan bangganya bila dah sampai kat rumah. Seorang pun tak boleh sentuh hatta mak aku sekali pun. Maklumlah kereta baru. Bekas tangan aku sendiri pun aku lapkan dengan kain inikan pulak tapak-tapak tangan orang kampung yang bersalutkan lumpur. Budak-budak apatah lagi. Hish...tidak sama sekali.
“Mahal kereta tu, banyak pulak duit kau, mak nak pinjam hari tu kau cakap takde duit ni alih-alih beli kereta pulak.” Mak aku menjeling kearah kereta aku yang bersinar di bawah mentari yang agak terik memancar.
“Alah, biasalah mak orang kaya” cis...sombongnya aku.
“Amboi! Cakap pun dah lain bunyinya. Berjimatlah sikit ni tak baru aje Allah bagi rezeki yang lebih dah sombong.” Bingit telinga aku mendengar mak berleter tak tahu hujung pangkal. Mak tu bukan apa tak puas hatilah tu pasal aku tak ajak dia naik kereta baru aku. Mengada-ngada taik kuda. Kuda pun tak mengada macam mak aku.
“Alah mak ni, saya sombong ke tak sombong ke itu saya punya pasallah. Duit saya, saya punya sukalah. Susah payah saya cari duit ni masa ni saya nak berlagak sikit. Mak tu apa tahu, tahu nak mintak aje. Ingat saya ni cop duit ke. Lama-lama mau bankrap saya tau.
“Kalau mak mintak pun apa salahnya. Selama ni mak yang tanggung makan minum kau sebelum kau berjaya macam ni. Lagipun mak mintak pun ada kau beri takde kan jadi tak payahlah nak sombong sangat tak selamat hidup kau nanti.”
“Ah! Sudahlah malas saya nak dengar ceramah free dari mak ni. Saya nak keluar tak puas lagi saya nak bawa kereta ni.” Derhakanya aku masa tu. Mak tak kata apa-apa sekadar memandang aku dengan ekor mata sambil mengesat matanya dengan hujung lengan kurung yang hampir lusuh itu. Aku dengan gaya yang penuh kesombongan melangkah keluar dari rumah mak aku yang aku rasa sangat panas walhal rumah buruk ni lah yang aku dok menumpang selama ni. Sekarang aku dah tak sedar diri lagi. Masa aku nak buka pintu kereta aku hampir terkeluar biji mata aku.
“Ooi...Sapa punya kerja ni hah! Aku nampak selut kuning yang bercampur dengan tahi lembu diletakkan atas bonet depan dan pintu belakang kereta aku dengan berbagai corak. Ni yang aku hangin satu badan ni.
“Sapa punya kerja ni, baik mengaku sebelum aku bunuh korang semua.” Dahlah aku hangin satu badan bertambah lagi hangin aku bila takde sorang pun yang mengaku.
“Apa bising-bising ni.” Mak menjengah dari tingkap.
“Mak tengok ni, sapa punya kerja ni, kalau aku dapatlah mampus aku kerjakan.” Mata aku melilau mencari muka orang yang bersalah diantara budak-budak yang berkumpul di situ. Aku nampak semua tangan budak tu bersalut lumpur bermakna semua budak tu terlibat.
“Itulah engkau kedekut sangat, lain kali taruk label ‘jangan sentuh’ barulah budak-budak tu tak sentuh.” Mak menjuihkan mulutnya sambil tersenyum sinis memandang aku. Aku tahu mak dengki dengan aku.
“Alah mak tu memang dengkikan saya, cemburukan saya sebab tak mampu nak beli kereta macam saya, entah-entah mak sendiri yang suruh budak-budak ni aniaya saya tak.” Aku menuduh mak aku dengan mata yang dah merah tahap cipan.
“Astaqfirullahazim....derhakanya kau, sampai hati kau kata mak macam ni. Tak selamat hidup kau, Run.” Mak menangis. Apa aku peduli dengan tangisan yang dibuat oleh mak aku tu. Hati aku ni lagi sakit tau.
“Ah! Sudahlah semua orang kampung cemburukan saya termasuklah mak sekali. DENGKI...IRI HATI....” aku menjerit-jerit tanda protes dengan apa yang berlaku. Jeritan aku membuatkan hampir semua penduduk kampung menjengah. Aku pun blah dari situ dengan perasaan marah yang masih berbaki dan membuak-buak dalam diri aku tunggu masa nak meletup aje. Aku meningkatkan kelajuan kereta aku sampai pada tahap yang boleh membunuh. Ah! Pedulik hapa aku kalau ada orang mati, hati aku ni lagi sakit tau. Tiba di simpang jalan entah macamana aku tak terperasan, bukan tak nampak tapi lupa nak tengok, entah lembu sapa agaknya cantik aje dok landing tengah jalan 2-3 ekor telah selamat aku langgar dan dengan aku-aku sekali selamat berangkat ke hospital. Hampir sebulan aku terlantar di hospital dan hampir habis juga duit yang simpan untuk merawat diri aku. Aku menangis tak henti-henti mengalahkan Kassim Selamat pulak nasib tak buta aje mata aku ni. Kalau tak seksa woo....
Hampir beberapa bulan aku di tempatkan di wad ICU akhirnya aku ditukarkan di wad biasa. Semua orang dah tak pandang muka aku lagi. Kat hospital hanya aku aje yang takde pelawat sebab tulah bila tiba time melawat aku rasa sedih sangat. Cuma kadang-kadang aje mak aku yang datang melawat. Itu pun aku tak tahulah ikhlas ke tak.
“Kereta saya macamana mak? Satu hari aku bertanya pada mak bila aku nampak mood mak aku okey sikit masa tu.
“Dah hancuss...mak dah hantar kat besi buruk.” Selamba aje mak jawab pertanyaan aku mungkin masa tu mak ketawa macam nak gila dalam hati dia, sapa taukan.
“Sampai hati mak hantar kereta saya kat besi buruk, kalau ye pun mak tak suka saya, masih marahkan saya tapi janganlah sampai hantar kereta saya kat besi buruk.” Aku mengesat air mata yang mengalir sedih woo...itulah satu-satunya harta yang aku ada.
“Sampai hati kau kata, sepatutnya kau tu dah kira bersyukur sebab aku ni sudi lagi nak jaga kau. Kalau ikutkan hati aku dengan kau sekali aku hantar kat besi buruk tau.” Mak aku menyuapkan bubur ke mulut aku dengan sedikit kasar sampai tertumpah atas katil. Aku faham apa yang mak rasa dan aku rasa menyesal sangat melawan cakap mak aku yang dah banyak tolong aku tambah-tambah masa aku terlantar sakit macam ni. Habis aje waktu melawat mak aku pun balik dengan muka yang agak masam. Mak keluar dari bilik wad aku tanpa sepatah kata pun. Huluran salam aku pun tak bersambut. Marah lagi mak dengan aku.
Keesokkan harinya doktor membawa berita yang membuatkan hampir tercirit buih atas katil ni. Mau tak cirit buih bila doktor kata aku dah tak dapat berjalan dan tak dapat nak menjalani kehidupan yang macam dulu lagi. Aku dah lumpuh. Diulang suara aku dah lumpuh. Rasa nak menjerit dan meraung tapi walaupun aku menangis air mata darah sekali pun aku dah tak dapat berjalan lagi. Agaknya inilah akibat dari sumpah mak pada aku. Kenapalah baru sekarang aku nak insaf kenapa tidak dulu.
Seminggu lepas tu aku pun dibawa balik kerumah oleh mak. Susah payah mak membawa aku yang dah tak normal ni. Kat rumah aku diletakkan dekat dengan bahagian dapur agar senang kalau aku nak kencing berak kata mak. Aku tak kisah, aku hanya menurut saja sebab aku dah tak mampu lagi nak uruskan keadaan diri aku. Semasa dalam sakit nilah barulah aku dapat tahu yang adik aku and the geng yang telah menyapu lumpur bersalut tahi lembu di kereta aku. Kalau dulu mungkin jugak aku dah bunuh adik aku tapi sekarang usahkan nak bunuh nak lempang pun aku dah tak larat, adik aku pulak asyik melarikan diri aje bila aku panggilnya. Macamlah hina sangat aku ni. Satu hari mak nampak aku menangis. Malu pulak rasanya masa. Kalau dulu aku jugak megah dengan ketinggian suara aku terhadap mak aku dan harta aku tapi sekarang ni aku dah takde satu sen pun. Sekarang ni aku hanya mengharapkan belas ikhsan dari mak aku.
“Sabarlah Run. Insya Allah kalau kita berusaha pasti akan berjaya. Mak ingat esok mak nak bawa kau pergi ke pantai. Dengan kata kalau tanam dalam pasir pantai baik tapi tak tahu kita cuba ye.”
“Tak payahlah mak nanti menyusahkan mak pulak.”
“Apa pulak susah kau kan anak mak, buruk-buruk pun oerangai kau mak tetap sayang kau.” Hampir menangis aku mendengar perkataan yang keluar dari mulut mak. Tak sangka mak masih sayang aku walaupun aku pernah buat jahat pada mak.
“Mak saya minta maaf banyak-banyak mak kalau selama ni saya banyak buat salah dengan mak. Saya menyesal mak. Saya janji saya takkan ulangi perangai saya yang buruk ni mak.” Aku memeluk mak walaupun bau ketiak mak buat aku hampir nak muntah.
“Baguslah kau dah sedar dan mak harap kalau baik sakit kau ni janganlah kau ulangi lagi ye.”
“Insya Allah mak.” Mak memeluk aku dengan kemas dan aku yang hampir lemas dengan kebusukkan ketiak.
Keesokkan harinya bermulalah hidup aku seharian di pantai menanamkan diri dengan bantuan dari mak dan juga adik aku. Setelah berusaha hampir sebulan akhirnya usaha aku itu menunjukkan hasil yang cukup buat aku gembira menitiskan air mata begitu jugak dengan mak aku. Kaki aku sudah dapat digerakkan walaupun sedikit tak cukup dengan itu mak telah mengupah orang untuk mengurut aku. Walaupun sedikit kegelian aku tahan juga demi untuk tak menghampakan mak aku yang berusaha dengan lebih keras. Akhirnya hari yang aku nanti pun muncul jugak. Aku dah dapat berjalan dan dapat bergerak semula. Aku melompat gembira dan aku berjanji akan berusaha dengan lebih keras lagi demi membina semula kerjaya yang hampir 2 tahun aku tinggalkan. Aku kembali menjual air tebu yang semakin dilupakan oleh orang. Nasib dan rezeki masih menyebelahi aku bilamana sambutan terhadap air tebu aku masih meningkat macam dulu. Duit yang aku dapat, aku simpan sedikit-sedikit agar aku dapat menabung macam dulu. Berkat kesungguhan aku yang tak kenal erti penat dan lelah akhirnya membuahkan hasil. Aku akhirnya dapat kembali membeli sebuah kereta yang sama macam dulu. Aku kembali menjadi sedikit riak.
“Pon....Pon....aku meletakkan kereta aku betul-betul didepan rumah aku untuk mengelakkan perkara yang tak diingini macam dulu.
“Banyak duit kau, kata hari tu takde duit.” Mak muncul dari balik dapur sambil mengelap peluh.
“Habis tu kalau saya cakap saya ada duit mak naklah, mak ingat saya cop duit ke. Hari-hari nak duit lama-lama bankrap saya kalau macam ni.”
“Ya Allah apa yang kau cakap ni.”
“Apa yang saya cakap, mak tak faham ke, itulah mak saya suruh sekolah tak nak sekarang dah jadi blur macam ni.”
“Astaqfirullahazim.....hari tu kau dah janji dengan mak tak nak ulang lagi perangai buruk kau tu tapi.....
“Ah! Sudahlah mak tak payah nak emosional dengan saya, bingit telinga saya, saya nak keluar lagipun saya dah beli rumah lain tak hingin saya nak balik kerumah yang buruk macam ni, panas.” Aku pun blah dari situ dengan melepaskan satu pukulan memecah kepala buat adik aku pasal kes hari tu, baru puas hati aku tambah pulak tengok di meraung macam orang tak cukup tanah. Mak aku hanya memerhati aku dengan pandangan yang kosong dan hampeh. Dalam hatinya terdetik ‘kalau tubuh kau tu lipat 18 jangan haraplah aku nak tolong lagi, kau boleh pergi mampuslah.’

1 comment:

9n0L4 said...

tadi baru terjah blog arina. entry pasal jnji jugak. hee. tapi yg ni janji sebuah cerpen. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...