Tuesday, October 28, 2008

BETUL,,TAK TIPU,,

BETUL TAK TIPU.......

Pagi masih awal benar masa aku turun dari rumah untuk kesekolah yang letaknya kira-kira 2 km dari rumah aku. Aku mengayuh basikal dengan agak perlahan memandangkan waktu yang masih terlalu awal untuk aku sampai ke sekolah. Sedang aku mengelamun sambil mengayuh basikal tiba-tiba telinga aku menangkap satu bunyi yang aku kira agak mengejutkan atau dalam bahasa yang lebih mudah agak menakutkan aku ditambah pula dengan keadaan aku yang sendirian mengayuh tanpa di temani oleh sapa-sapa. Aku memperlahankan kayuhan aku sambil-sambil tu aku melebarkan struktur telinga menjadi agak lebar. Tapi sayangnya aku dah tak dengar apa-apa yang agak mencurigakan lantas aku kembali mengayuh basikal aku sambil menyanyi-nyanyi sendirian. Belum pun beberapa langkah kayuhan aku, telinga aku menangkap lagi bunyi yang mencurigakan itu. Aku membehentikan basikal lalu aku turun dari basikal untuk mencari bunyi itu yang aku agak ianya suara manusia. Manalah tahu kot-kot ada orang yang telah melakukan perkara yang tak sepatutnya. Aku masuk ke dalam semak dan mencari-cari suara itu. Semakin aku hampir semakin jelas kedengaran suara manusia yang meminta pertolongan. Aku berjalan lagi sambil mencari-cari suara itu. Rasanya dah semakin jauh aku berjalan tapi suara tu langsung aku tak jumpa. Entah-entah......eee...takut pulak aku bila membayangkan sesuatu yang tak masuk diakal ni. Aku mengambil keputusan untuk blah aje dari situ. Sebaik saja aku berpaling, hampir saja aku menjerit. Macamana aku tak menjerit tiba-tiba aje aku ternampak satu susuk tubuh yang berkelubung kain hitam atau mungkin jubah sedang tersandar di sebatang pokok sambil mengerang kesakitan. Aku berfikir sendiri samada aku harus menolongnya atau sekadar menjadi pemerhati saja. “Toolloooong.....toollooong.......saya.” bila dengar suaranya yang agak sayu dan merayu-rayu rasa tak sampai hati pulak. Aku berjalan menghampirinya dengan langkah yang agak perlahan. Aku lihat sebatang anak panah menembusi pangkal bahunya dan sebatang lagi menembusi perutnya. Kalau mengikut pengalaman akulah dengan keadaan yang macam ni rasanya orang yang berjubah hitam ni takkan bertahan lebih lama atau dalam bahasa kasarnya mati tapi ajal mautkan ditangan Allah jadi buat apalah aku pulak yang sibuk-sibuk nak tentukan apa yang berlaku.
“Apa yang saya boleh buat ni? Rasanya itu soalan yang bodoh. Ingatkan orang berjubah tu akan tengking aku tapi sebaliknya pulak orang tu membuka jubahnya dan mempamerkan wajah yang sungguh tampan sekali rasanya ada iras-iras Jonny Deep. aku terpaku seketika. Diri aku rasa berada di awang-awangan sebelum aku dikejutkan dengan suara teriakkan dekat betul dengan telinga aku. Rasa pekak sekejab telinga aku. Mata aku pun rasa berpinar akibat dari jeritan yang agak membingitkan ini. Cheh! Harap muka aje lawa tapi budi bahasa kurang. Dahlah nak minta aku tolong main jerit-jerit pulak nasib baiklah aku ni seorang masyarakat yang begitu prihatin terhadap masalah-masalah yang macam ni kalau tak jangan haraplah aku nak tolong. Aku menaikkan kening aku, untuk bertanya rasanya aku dah malas. “Tolong...cabutkan anak panah ni. Saya dah tak tahan lagi.” Gila apa agaknya. Ingat senang ke nak cabut, silap-silap bersembur darah macamana. Nanti kalau dia ni mati sebabkan darah tak cukup macamana. Nanti aku jugak yang disabitkan dengan tuduhan membunuh. Tak mahulah aku. Aku masih berfikir.
“Takpe bila awak dah cabut anak panah tu awak taburkan serbuk ni atas luka saya.” Aiik! Macam tahu aje apa yang fikir. Heran ni. Macam magik pulak rasanya. Orang berjubah itu menghulurkan satu botol yang mengandungi serbuk yang berwarna keperakkan dan tangan aku pantas aje mencapai botol tu tanpa bertanya apa-apa lagi. Tangan aku agak mengigil bila nak mencabut anak panah yang melekat pada kulit orang berjubah itu. Dengan lafaz Bismillah aku menarik anak panah tu dengan sekali tarik aje. Kelihatan darah merah mengalir dengan agak laju dan dengan tangan yang terketar aku cepat-cepat membuka tudung yang menutup botol kecik tu lantas aku menabur sedikit serbuk itu. Selepas itu aku membalut luka tu dengan sapu tangan good morning yang biasa aku bawa ke sekolah. Walaupun baunya agak masam sedikit tapi okeylah tambah-tambah dalam keadaan darurat macam ni. Rasanya boleh di maafkan. Aku memandang sekilas kearah orang yang berjubah itu. Aku nampak peluh membasahi hampir seluruh mukanya. Orang berjubah itu kemudiannya membuang kayu yang digigitnya.
“Terima kasih, sekarang cabut yang dekat bahagian perut saya pulak. Cepat sikit.” Kedengaran suara yang agak perlahan dari mulut orang berjubah itu. Mungkin akibat menanggung kesakitan yang teramat sangat.
“Baiklah.....1....2....3....sama macam tadi sekali rentap anak panah tu tercabut. Kepala aku dah sedikit pening. Apa tak peningnya bau darah yang hanyir dengan limpaha darah yang banyak buat aku rasa mual. Selepas menabur serbuk itu aku mencari kain untuk membalutnya tapi hampeh tak jumpa pun. Nak koyak kain sekolah aku tak berani, aku takut mak pelangkung aku. At last aku biarkan aje macam tu. Aku tengok elok aje darah pun dah kering. Magik betullah.
“Tolong bawa saya keluar dari sini.” Lepas dari tu aku nampak lelaki tu dah pun jatuh tersungkur. Aku panik untuk seketika. Apa yang aku nak buat hah. Bingung betullah. Aku cuba mengangkat tubuh lelaki tu. Ya! Allah makan apalah agaknya lelaki ni. Berat nak mampus. Bila dah stabil aku mengheret lelaki tu tapi kemana yang aku nak bawa dia pergi. Mata aku melilau mencari tempat yang selamat. Nak bawa balik kerumah aku takut pulak manalah tahu kalau-kalau lelaki seorang yang jahat. Tengok pada gaya yang macam ahli sihir ni buat aku kecut perut aje. Aku menyandar tubuh aku pada sebatang pokok sambil menampung tubuh lelaki ni yang amat berat. Makan batu agaknya. Selepas berfikir untuk seketika barulah aku teringat yang ada tempat macam gua di balik air terjun yang selalu aku lepak sambil baca buku tu. Aku pun cepat-cepat mebawa tubuh berat lelaki ni menuju kearah air terjun. Akhirnya sampai jugak aku. Dah lenjun baju aku bermandikan peluh yang merembes rasa macam dah mandilah pulak. “Oksigen...oksigen.....macam nak mati rasanya. Aku berpaling melihat lelaki nyata ianya masih belum lagi sedar dari pengsan. Selepas berehat untuk seketika aku pun mengheret lagi tubuh sasa lelaki ni kearah gua kecik. Selepas tu aku meninggalkannya untuk kembali kerumah bagi mengambil apa-apa yang diperlukan oleh lelaki terutamanya makanan. Rasa-rasanya hari ni aku dah tak pergi sekolah dah lewat benar rasanya. Aku keluar menuju kejalan besar tempat aku tinggalkan basikal aku tadi. Sampai disana aku nampak beberapa orang lelaki yang agak mencurigakan. Pakaiannya sama macam lelaki yang aku tolong tadi. Jangan-jangan lelaki tu sama kumpulan dengan orang-orang yang ada depan aku ni. Aku mengheret perlahan basikal sambil-sambil tu telinga aku cuba mendengar apa yang sedang orang tu bualkan.
“Macamana boleh terlepas ni, susah kita kalau macam ni. Tambah pula malam ni kan bulan akan mengambang aku takut kalau dia berubah bentuk, nanti tak pasal-pasal ramai orang yang akan terkorban.” Aku mendengar suara mereka walaupun sedikit berbisik. Tapi yang herannya apa yang berubah bentuk dan apa pulak berkaitannya dengan bulan mengambang. Aku cuba lagi untuk mendengarnya dengan berpura-pura rantai basikal tercabut. Sambil membetulkan rantai basikal sambil telinga aku mencuri lagi mendengar perbualan mereka.
“Apa kata kalau kita cuba bertanya pada orang kampung kat sini. Manalah tahu kalau-kalau mereka ada nampaknya.” Jawab lelaki yang memakai separa topeng di bahagian mukanya.
“Kau gila apa, aku tak rasa yang dia pergi minta pertolongan dengan orang memandangkan keadaannya yang dah luka parah macam tu dan kau ingat orang nak tolong dia bila dapat tahu yang dia tu serigala jadian.” Kedengaran suara yang sedikit garau tersenyum sinis memandang kearah aku yang semakin dibasahi peluh. Aku masih tak percaya dengan apa yang aku dengar. Lelaki yang aku tolong tadi tu serigala jadian. Rasanya aku dah bermimpi di siang hari ni. Aku mencubit lengan aku untuk pastikan samada betul-betul atau aku bermimpi. ‘Aauuww.....sakitnya dan memang nyata aku tidak bermimpi di siang hari. Apa yang aku harus buat ni. Apa-apa pun aku harus tolong lelaki soal tentang dia siapa atau nak jadi apa itu belakang kira. Aku melintas di hadapan mereka yang berpakaian pelik. Aku meneguk air liur yang dah sekian lama terkumpul di anak tekak aku. Belum pun aku jauh dari mereka entah apa yang diorang guna pun aku tak tahu tiba-tiba aje lelaki berkelubung dengan separa topeng di mukanya telah berada di depan aku. Terperanjat berut aku. Beruk pun tak terperanjat macam aku ni.
“Boleh saya tanya?
“Boleh.” Tergamam aku untuk seketika. Chewah macam dalam iklan rejoice pulak, alah iklan yang cari subang tu. Eh! Apahal pulak yang aku melalut ni.
“Ada tak nampak seorang lelaki yang berpakaian macam saya di sekitar sini.”
“Ttt....emm...tak nampak...err...la...la..gipun sssa...sssaya bbbaru lalu kat ssinniii...” Suara aku langsung tak teratur aku takut benar masa tu. Aku harap sangat agar orang tu tak perasan dengan keadaan aku agak gabra.
“takpelah.” Lelaki tu pun berlalu dari situ meninggalkan aku dengan seribu kelegaan. Aku cepat-cepat mengayuh basikal aku menuju kerumah. Nasib aku baik bila aku lihat takde sapa-sapa kat rumah aku. Ini memudahkan aku untuk mengambil apa saja tanpa banyak soal. Lepas aku kutip semua yang diperlukan aku pun cepat-cepat keluar dari rumah. Bukan apa takut bertembung dengan ahli keluarga aku nanti banyak pulak songehnya. Dengan keadaan yang begitu penat dan lelah dengan peluh yang membasahi baju aku dengan ketiak yang agak berbau akhirnya aku sampai jugak kat tempat lelaki yang aku selamatkan tadi. Aku pandang sekeliling bila aku lihat lelaki tadi dah takde kat tempat yang aku letak tadi. Aku separuh ketakutan. Nak menjerit aku tak tahu nama dia apa. Aku terfikir jangan-jangan lelaki tu dah bertukar menjadi jeng...jeng....(sedikit muzik saspen untuk menyedapkan cerita) mata aku melilau memandang atas dan bawah gua. Bukan apa buatnya diterjah aku dari belakang ke dari atas ke atau dari sudut mana pun tak ke naya aku. Niat nak tolong orang kan dah bertukar jadi cerita lain pulak. Lagipun orang tak tahu aku kat mana sekarang. Aku berpusing untuk keluar dari gua tu. Ya Allah terperanjatnya aku bila aku lihat lelaki tu kat depan aku. Kuss...semangat nasib aku takde lemah jantung kalau ada mau terbongkang aku meninggal kat sini.
“Terima kasih sebab tolong saya” suara yang agak kasar terpancul dari mulutnya yang langsung kelihatan tidak bergerak. Aku tak tahulah lelaki bercakap dengan mengunakan mulutnya atau menggunakan apa sebab memang aku tak nampak langsung bibirnya bergerak dan mulutnya terbuka ke apa ke aku tak tahu.
“Sama-sama. Oh! Ya ni ada sedikit makanan dan juga ubat untuk awak.” Aku meletakkan plastik yang berisi makanan yang aku ambil dari rumah tadi.
“Takpe terima kasih saja, saya tak perlukan makanan tu tapi.....”
“Tapi apa? Aku bertanya soalan yang kedengaran sedikit bodoh memandangkan aku dah tahu siapa lelaki di hadapan aku ni.
“Saya tak perlukan semua tu.” Soalan aku dijawab dengan suara yang agak kasar.
“Kalau awak tak makan nanti awak tak larat. Takut pula kalau sakit awak tu semakin teruk. Saya pun dah nak balik ni.” Aku bergegas untuk pulang memandangka hari yang dah semakin gelap. Belum pun sempat aku keluar lelaki tu menyambar tangan aku dengan agak kasar.
“Eh! Apa ni sakit tau.” Aku cuba meleraikan tangan lelaki tu ternyata usaha aku hanya sia-sia. Pegangannya semakin kuat dan aku menjerit kesakitan.
“Aku tak perlukan makanan yang kau bawa tapi aku perlukan darah kau...ha..ha..ha...ada juga orang yang bodoh menyerah dirinya sendiri. Ha....ha....” ketawa lelaki yang bangang ni bergema di dalam gua yang semakin kelam ni. Aku hanya mampu melihat bila lelaki ni menyepak plastik yang berisi makanan yang aku bawa untuknya. Tak berperikemanusiaan langsung. Tapi logik jugak dia ni takde sifat-sifat murni seorang manusia, kan dia ni pra manusia. Aku cuba merentap tapi tak berjaya. Aku rasa nak menangis bukan rasa lagi dah tapi memang aku dah menangis. Mak ...ayah...tolonglah saya. Lelaki tu mengheret aku ke dalam gua yang semakin jauh aku rasakan. Apa yang aku harus buat. Lelaki tu memandang aku untuk seketika dan membuang kain kelubung yang baru dipakai sebaik saja aku sampai tadi. Aku lihat wajahnya sudah berubah dari hensem giler tadi dah berubah menjadi keadaan yang agak mengerunkan. Mulutnya semakin memanjang dengan gigi yang tajam keluar sedikit demi sedikit dengan air liur yang meleleh membuatkan tekak aku loya dan aku pasti apa yang dicakapkan oleh sekumpulan lelaki yang berpakaian pelik tadi memang benar dan tepat. Tapi itu semua sudah terlambat. Terlajak perahu boleh diundur tapi terlajak perbuatan yang mulia macam aku ni hampeh. Ingat nak dapat pahala tolong orang last-last aku jugak yang kena minta tolong dengan orang. Semasa proses pertukaran itu aku cuba mencari apa-apa yang boleh aku buat senjata. Mata aku terpandang pada sebatang kayu yang agak besar. Aku cuba mencapainya tapi tak sampai dan aku cuba lagi menguisnya dengan kaki malangnya itu jugak tak dapat sebab kayu tu yang agak besar. Macamana ye nak buat. Aku dapat satu idea. Aku membongkok dan mengigit tangan lelaki tu yang dipenuhi bulu. Eeiii.....gelinya aku. Rasa nak muntah pulak. Rancangan aku berjaya dan aku cepat-cepat mengambil kayu tu lantas aku menghentak di kepala lelaki yang sudah bertukar rupa itu. Lelaki tu jatuh tersungkur dan aku pun cepat-cepat keluar dari situ. Baru aku melangkah kaki aku tiba-tiba dipegang oleh lelaki tu dan aku pulak yang jatuh tersungkur macam nangka busuk daa....nasib kayu tu masih aku pegang dan tanpa menunggu lama aku pun menghentaknya sekali lagi. Aku perhati lelaki itu langsung tak bergerak. Dah mati agaknya. Tapi kalau mati pun apa yang aku peduli. Jangan haraplah aku nak tolong lagi. Aku cepat-cepat pulang kerumah dalam suasana malam yang agak mengerunkan.
“Betul ke apa yang awak cakap ni? Tanya Cikgu Ramlah sambil membetulkan kacamatanya yang agak tebal macam buntut kuali.
“Betul cikgu saya tak tipu.” Aku mengesat mulut aku yang dibasahi air liur masa aku bercerita tadi. Aku nampak cikgu Ramlah mengeleng-gelengkan kepalanya dan memandang kearah aku. Semua pelajar yang ada dalam kelas aku ketawa terbahak-bahak. Arianti, yang duduk di sebelah aku hampir pengsan menahan ketawanya. Aku hanya memandang dengan muka yang agak mual. Aku pulak sempat memandang pada Razak yang menekan-nekan perutnya yang sedikit buncit itu sambil melelehkan air mata dan air liur. Takpe..takpe...ketawalah. eeeii...rasanya nak sumbat aje botol minuman dalam mulut besar Shanti tu.
“Okey dah...dah....semua pelajar diam dan awak, Intan, Cikgu nak awak bawa kerusi pergi duduk tepi kelas sampai habis waktu saya. Berdiri atas kerusi. Faham!
“Tapi cikgu. Saya cakap betul cikgu saya tak tipu.” Aku masih lagi membela diri aku yang memang dah salah sebab tak siapkan kerja sekolah yang diberikan.
“Dahlah awak tak buat kerja sekolah, masuk lewat masa saya lepas tu awak boleh buat cerita yang bukan-bukan, awak ingat saya ni bodoh ke nak percaya dengan cakap awak tu. Awak ingat saya tak tahu ke yang awak tu asyik baca buku Harry Potter masa saya sedang mengajar kat depan. Awak ingat saya tak tahu ke kegiatan awak. Semuanya saya tahu. Saya ingatkan kalau awak buat cerita macam ni lagi baik awak tak payah sekolah lebih baik awak jadi penulis dengan idea merapu awak yang bukan-bukan tu. Hah! Hari tu dalam kelas Cikgu Shafie awak menjerit kononnya ada orang nak bunuh awak. Hei! Tolonglah.... saya takde masa nak layan awak dan dah jangan cakap banyak awak bawa kerusi pergi duduk kat luar sebelum saya tambah lagi hukuman dan denda untuk awak. Pastikan sebelum keluar awak ambil kerja sekolah yang awak tak siap semalam dan siapkan sambil berdiri atas kerusi. FAHAM!” Cikgu Ramlah menjegilkan matanya yang sememangnya dah terjegil. Dengan langkah malas aku mengheret kerusi menuju ke tepi koridor kelas aku. Aku menghentak kerusi dan kaki aku pada lantai. Aku sempat jugak menjeling kedalam kelas dan telinga aku masih lagi dapat menangkap suara-suara sumbang yang sedang mentertawakan aku. Hampeh betullah.

2 comments:

Karukord Jagau's said...

hahah bagus2...cerita yg menarik....alasan nk kena lempang ngan cekgu le ni...dok sibuk tolong serigala jadian bagai .....hahaha tapi kan saya dulu2 pun selalu bwk sapu tgn good morning tu....hehehee

9n0L4 said...

huhu. kalau ade budak mcm ni kt skoloh, mmg kene cubitlahhh. ;)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...