GEMERSIK SUARA
Satu hari tu aku berjalan keliling kampung untuk menikmati keindahan kampung aku yang sekian lama aku tinggalkan. Rasanya dah lama benar aku ni tak balik kampung. Yelah macamana nak balik kalau asyik kerja aje. Sampaikan mak aku pun dah asyik bising aje sebab lama tak balik. Aku ni bukannya tak nak balik tapi asal balik aje mesti mak aku bising pasal aku ni tak kawin-kawin lagi. Naik bingit juga telinga aku bila mak aku berbunyi mengalahkan murai yang selalu bertenggek kat depan pokok rambutan rumah aku.
Aku berjalan menyusuri sungai yang semakin hari semakin lesu perjalanannya. Macamana tak lesu kalau dah sampah lebih banyak dari air yang mengalir. Sesekali aku dapat menangkap kelibat seekor dua ikan yang sesat dalam air tu. Sesat atau pening dengan keadaan air aku pun tak tahu. Aku melihat pangkin di tepi sungai yang tunggu masa untuk roboh. Kat situlah dulu masa aku budak-budak dulu buat terjun tiruk bersama dengan kawan-kawan aku. Tapi itu semua dah tinggal jadi kenangan. Kawan-kawan aku pun semua dah takde. Masing-masing sibuk dengan kerja dan keluarga, macam aku ni lainlah, walaupun sibuk tapi aku masih belum berkeluarga.
Aku berjalan lagi. Udara yang nyaman buat aku sedikit pun tak rasa letih. Tiba-tiba aku menangkap satu suara yang cukup merdu dan mengasyikkan sedang mengalunkan bacaan Al-Quran. Langkah aku terhenti. Suara tu cukup menusuk kedalam dada aku. Aku terpegun untuk seketika. Ah! Aku tak pernah dengar suara yang sedap macam ni. Alunan suara yang sedang mengaji tu cukup lemak diiringi dengan tajwid, tarannumnya, dengan makhrajnya yang cukup sempurna buat aku rasa kenyang walaupun tadi rasanya macam nak putus tali perut aku.
“Odah...ooo....Odah..dah masuk waktu tu. Kalau nak sembahyang cepatlah kan lambat pulak.” Aku memasang telinga bila terdengar satu suara yang menjerit. Aku meninjau melihat kearah rumah yang hampir senget tu. Cuma tunggu masa aje nak menyembah bumi tapi itu semua tak penting, bagi aku yang penting sekarang ni melihat sapa yang punya gerangan suara tadi. Aku melihat kelibat seorang gadis yang sedang bertelekung sembahyang. Ooo...rupanya dia yang mengaji tadi. mungkin jugak dia yang bernama Odah. Ah! Rasanya aku dah jatuh cinta pada suara dan mungkin jugak yang empunya suara. Hajat hati nak tunggu lama sikit tapi risau jugak sebab ramai orang yang lalu lalang kat sini. Lain macam aje diorang pandang muka aku. Macamlah aku ni pencuri. Aku ambik keputusan balik aje. Takpe esok masih ada.
Sampai kat rumah aku berehat seketika di bawah pokok mempelam yang sedang berbuah lebat ni. Di telinga aku masih tergiang-giang suara Odah yang sedang mengaji. Aku tersenyum sendiri. Rasanya aku ni dah separuh angau. Sebelum angau aku lebih teruk aku akan cuba tanya pada mak pasal ni.
“Laa...dah lama balik Rul.” Mak melabuhkan punggungnya disisi aku sambil mengibas tangannya yang disaluti pasir bekas cabutan ubi kayu tadi.
“Baru aje, pangkin ni pun tak panas lagi.”
“Macamana kat sini, dah lama tak balik ni apa perasaan Rul kat kampung ni.”
“Amboi, mak ni tanya saya menglahkan wartawan pencen pulak.” Aku gelak kecil.
“Taklah, kau kan dah lama tak balik kat sini, takkanlah sikit pun tak rindu suasana kampung kat sini.”
“Seronok. Udara pun nyaman tapi yelah saya selalu sibuk. Ni pun dapat cuti tak sampai seminggu pun. Lepas harap saya berjanji dengan mak kalau tak memang payah.”
“Kerja, kerja jugak jangan sampai lupa semua benda kat dalam dunia ni.”
“Oh! Ya mak. Rumah sapa yang kat hujung sungai tu.” Aku bangun membetulkan tempat duduk.
“Kat hujung sungai? Kat hujung sungai tu kubur nak ooii.....”
“Hish...mak ni orang betul-betul dia main-main pulak.” Aku tahu mak saja usik aku sebab aku nampak mak senyum aje.
“Kenapa tanya. Aaa....ni mesti dah berkenan kat anak dara orang ni.”
“Hish...mana ada. Saja aje tadi kebetulan lalu kat situ. Ingatkan takde orang duduk sebab rumah tu dah buruk sangatlah mak, tunggu masa aje nak roboh. Tengok-tengok ada orang tu yang pelik sikit tu sebab Rul tak kenal pun mereka.”
“Alah rumah Tuk Said. Tuk Said pun dah lama meninggal, sekarang ni tinggal Mak Pah dengan cucu dia Saodah.”
“Anaknya takde ke mak.”
“Ada. Semua dah kerja duduk kat bandar.”
“Habis tu apasal diorang tak ajak Mak Pah duduk sekali dengan dia. Kesianlah mak.”
“Manalah mak tahu. Kau pergilah tanya dia sendiri. Dahlah mak nak ke belakang kejab hari pun dah petang sangat ni. Mak nak tengok ada tak ayah kamu ni letak air dalam reban ayam kan mampus pulak anak ayam yang baru menetas tu.” Mak berlenggang pergi meninggalkan aku yang masih berfikir tapi aku bukan fikir pasal bini Tuk Said tapi cucu Tuk Said. Merdu sungguh suaranya. Ni kalau masuk akademi Al-Quran ni mesti menang ni. Sebenarnya banyak lagi yang nak aku tanyakan pada mak aku tapi rasa segan pulak. nanti apa pulak kata mak.
Aku ke masjid bersama-sama dengan mak dan ayah aku. Masjid yang besar ni hanya separuh aje yang penuh selebihnya masih kosong dan inilah yang berlaku kat mana-mana pun. Kalau ada konsert, sampai tak muat tempat duduk. Sedih betul bila fikir pasal ni. Selepas solat Isyak aku keluar dulu, memandangkan ayah masih berborak dengan pak imam aku keluar menunggu di kereta. Bayang mak pun masih belum kelihatan. Mana pulaklah mak ni. Aku menyandarkan badan aku di bonet depan kereta. Sesekali aku tersenyum pada penduduk kampung yang baru juga keluar dari masjid. Sampai naik lenguh mulut aku ni.
“Cepatlah sikit Odah. Kau ni selalu macam ni, asyik aku aje yang tunggu kau.” Tiba-tiba aku menangkap satu suara yang menyebut nama ‘Odah’. Rasanya ini satu peluang untuk aku melihat tuan punya suara yang aku dengar petang tadi. mata aku meliar untuk melihat kelibat gadis bernama Odah. Rasanya aku dah nampak gadis tu, manis sekali sesuai benar dengan suaranya yang begitu gemersik.
“Nak balik ke? Aku mengambil kesempatan ini memandangkan mak dan ayah aku masih lagi tak datang.
“Ha’ah takkan nak tidur kat sini pulak.” bukan Odah yang jawab tapi kawannya yang melaung tadi. aku melihat Odah hanya tersenyum dan tersipu-sipu dari balik selendang yang dipakai. Aduh! Terpikat sungguh aku ni. Nampaknya cuti aku terpaksalah di panjangkan lagi dalam 2-3 hari lagi.
“Aiik...tanya pun marah.” Aku masih lagi cuba memancing Odah untuk bersuara.
“Bukannya nak marah tapi kan dah nampak.” Hish...menyampah betulah aku dengan kawan dia ni. Orang tak tanya dia menyampuk pulak. Odah ni pulak tak reti-reti nak bersuara.
“Yelah...yelah...saya minta maaf kalau awak berdua ni rasa marah. Tapi kalau nak balik sekali dengan saya pun boleh.” Aku tersengih dan Odah tersenyum.
“Nak mampus.”
“Hissh....sapa pulak suruh awak pergi mampus. Saya ajak awak berdua ni naik kereta. Salah ke? Haa....tu pun mak dan ayah saya. kalau tumpang marilah sekali.” Aku masih lagi pelawa diorang ni tapi jual mahal betullah. Tapi bagus jugak sekurang-kurangnya diorang ni taklah buat jualan murah pulak.
“Takpelah terima kasih aje.” Odah bersuara dan aku terpinga di situ dengan mulut yang mengangga. Aku melihat kelibat mereka berdua berlalu dari situ. Rasanya aku dah terkena panahan cinta pandang pertama. Begitu merdu suara Odah pada pendengaran aku. patutlah mengaji pun sedap.
“Tutup mulut tu Rul. Nyamuk banyak kat sini.” Ayah bersuara. Masa tu barulah aku tersedar dari dunia khayalan aku. Aku mengaru kepala aku yang tak berapa gatal. Nak cover malulah. Aku tahu mesti mak dengan ayah aku nampak apa yang buat tadi. Ah! Nasiblah.
“Kau borak dengan sapa tadi Rul.”
“Entah. Rul tak kenal pun kebetulan diorang lalu kat sini.”
“Tak kenal? Pelik tu.” Ayah mengeleng kepala.
“Apa yang peliknya ayah.” Aku pulak yang kehairanan.
“Kalau tak kenal takkanlah sampai melopong mulut tu.”
“Hisshhh......ada-ada aje ayah ni.”
“Betul tu Rul, kalau kau berkenan kat sapa-sapa dalam kampung ni kau cakap, mak boleh pergi pinang.”
“Mana ada mak.” Aku memandu dengan perlahan bilamana aku melihat kelibat Odah dengan kawannya tadi. aku memerhati Odah dari balik cermin sisi aku. aku tersenyum sendiri. Tak sangka pulak yang aku akan jumpa dengan Odah malam ni.
“Cukup-cukuplah tu Rul. Terkeluar mata tu kan.” Ayah ketawa diikuti dengan mak. Diorang ni memang saja nak kenakan aku. aku tak kata apa-apa sebab memang betul pun aku tengok Odah dan aku biarkan mak dan ayah aku yang masih ketawakan aku.
Aku membuka tingkap bilik aku. pagi yang masih samar-samar membuat udara begitu segar dan nyaman. Aku menghirup udara yang segar ini dala-dalam. Satu kepuasan rasanya dapat ketenangan macam ni. Selepas solat subuh aku bersiap dengan baju sukan aku.
“awal benar ni, nak kemana? Tanya mak bilamana melihat aku yang sedang mengikat tali kasut di birai tangga.
“Jogging.” Ringkas dan padat jawapan yang aku berikan.
“Jogging? Apa kejadahnya kau jogging kat kampung ni.” Mak bersuara pelik. Macamlah aku nak pergi mencuri walhal aku Cuma nak pergi berjogging. Pelik betullah.
“Salah ke? Saya memang selalu berjogging. Kalau sehari tak bersukan macam ni saya rasa tak selesalah mak. Lagipun saya ni bukannya nak pergi mencuri apalah mak ni. Jogging ni bagus tau mak. Badan pun sihat otak pun cergas.” Panjang lebar keterangan yang aku berikan tapi tak tahulah samada mak faham ke tak.
“Hah! Yelah tu badan sihat, otak cergas. Terlampau cergaslah tu yang sampai sekarang tak kawin-kawin jugak.” Tempelak mak pada aku.
“Hishh....mak ni tak sangkut paut langsung semua ni denga saya berjogging. Dahlah mak. Saya pergi dulu kan bila dah terang tak seronok pulak nak berjogging.” Aku bergegas turun dan menarik nafas dalam-dalam. Aku berjalan perlahan-lahan sebelum membuat larian yang sederhana laju.
Melewati setiap rumah membuatkan aku dipandang macam orang yang baru terlepas dari penjara. Aku sekadar mengelengkan kepala bila memikirkan betapa bersalahnya aku berjogging pagi-pagi buta ni. Mungkin jugak ini bukan satu pekerjaan yang dilakukan oleh orang kampung. Yelah berjogging bukannya dapat duitkan. Zaman sekarang ni duit adalah segala-galanya, tambahan pulak sekarang ni harga beras yang semakin mahal. Larian aku terhenti untuk seketika bila telinga aku menangkap satu suara yang cukup merdu dipagi hari. Suara orang mengaji dan aku terpegun untuk seketika untuk menghayatinya. Untuk kali kedua aku jatuh cinta lagi pada suaranya. Rasanya aku ingin sekali memiliki yang empunya suara tu. Aku pura-pura mengikat tali kasut aku bila bertembung dengan beberapa orang kampung. Aku melihat jam, baru pukul 7.15 pagi. Patutlah jalan kampung ni semakin sibuk. Melihatkan sifat-sifat odah yang begitu mempesonakan membuatkan aku rasa nak terus masuk meminang.
Tengah asyik mendengar tiba-tiba suar tu terhenti dan aku melihat kearah rumah Odah. Kenapalah berhenti. Rasa tak puas aku mendengarnya. Aku nampak Odah sedang membuka tingkap rumahnya kemudian langsung hilang. Tak lama tu aku nampak Mak Pah turun dari tangga dengan seberkas makanan ayam. Perlahan-lahan aku mengatur langkah menuju ke arah Mak Pah.
“Assalamualaikum.....Mak Pah.”
“Waalaikumussalam....cari sapa? Tanya Mak Pah dengan mata yang sedikit dikecilkan. Mungkin untuk mengenal pasti sapa agaknya yang menegur pagi-pagi buta ni.
“Tak cari sapa, kebetulan lalu ternampak Mak Pah kat sini tu yang singgah sekejap ni.” Aku mengesat peluh yang menitis. Aku tak tahu samada peluh aku berjogging atau peluh gabra.
“Tinggal kat sini ke? Tak pernah nampak pun selama ni.” Tanya Mak Pah lagi sambil tangannya mengambil sekerkas penyapu lidi. Aku menjarakkan sedikit kedudukan aku dengan Mak Pah. Jangan dipukul aku sudah.
“Ha’ah, rumah Pak Harun, kat simpang masjid.”
“Ooo...anak Pak Harulah ni.” Mak Pah mengangguk-nggukkan kepalanya yang dah sedia terhangguk tu.mungkin kenallah tu sapa tak kenal bilal kampung Kucintaik ni.
“Mak Pah nak buat apa tu.? Saja bertanya padahal aku dah tau pun.
“Nak bagi ayam makan, mohlah kita kebelakang.” Ajak Mak Pah.
“Banyak ke Mak Pah bela ayam.”
“Adalah sikit-sikit. Daripada duduk tak buat apa bosan jugak.”
“Betul jugakkan.” Aku mengangguk tanda setuju dengan kata-kata Mak Pah.
“Lama cuti?
“Adalah seminggu. Mak Pah tinggal sorang-sorang ni tak sunyi ke?
“Sunyi jugak. Dulu masa Tuk Said kau meninggal. Sebulan Mak Pah tinggal sorang-sorang kat rumah. Tak tahan sunyi tu yang ajak cucu Mak Pah tinggal sekali. Ada juga teman.”
“Tapi tak nampak orang pun.”
“Ada, si Odah tu baru aje sudah mengaji tadi, tengah masaklah tu kot.” Mak Pah leka memberi ayam makan dan aku leka memikirkan tentang Odah. Memang betul , sahih dan benar yang suara yang mengaji tu adalah Odah dan kali ni aku yakin Odah adalah pilihan yang tepat.
“Suami Odah kemana, tak nampak pun.” Aku pura-pura bertanya walhal aku dah tahu yang Odah tu masih tak kawin lagi. Bukan apa untuk kepastian.
“Hish....kan tadi Mak Pah dah cakap, Mak Pah tinggal dengan Odah aje, Odah tu tak kawin lagi” Mak Pah ketawa. “Dulu ada juga orang yang datang meminang tapi ditolaknya, entah sapa yang ditunggu tak tahulah.” Mak Pah menyambung lagi.
‘Dia tunggu aku lah tu.’ Detik hati aku kegirangan.
“Neekkkk......sarapan dah siap.”teriak Odah dari dalam rumah.
“Yelah.”Jerit Mak Pah dari luar dan aku menjerit suka manalah tahu kot-kot diajak sekali.
“Takpelah Mak Pah, saya minta diri dululah.”
“Laa...tunggulah dulu, dah terlanjur Odah dah siap masak marilah kita makan sekali sambil tu boleh berbual-bual dengan Mak Pah. Mak Pah bukannya ada orang yang nak dibawa bercakap.” Mak Pah menarik tangan aku. tapi aku pula pura-pura jual mahal. Tapi bagus juga kalau aku terima pelawaannya boleh aku menilai air tangan buatan Odah.
“Heh! Takpelah Mak Pah, saya ni ganggu Mak Pah aje.”
“Takdenya ganggu, jom.”
“Betul ke ni? Tanya aku lagi dengan muka yang tak tahu malu.
“Betul. Dah jom. Odah, tambah lagi satu kopi ye, kita ada tetamu pagi ni.” Aku nampak Odah agak terkejut dan bergegas mencapai selendang yang telah sedia tergantung di tiang seri rumahnya. Aku sempat menangkap satu senyuman terukir pada bibir Odah. Untuk aku ke senyuman tu? Chewah! Perasanlah pulak. tapi sayang Odah tak minum sekali dengan aku. puas diajak tapi macam-macam dalih yang dia bagi. Frust betullah. Aku menghirup kopi buatan Odah. Hmm...memang sedap. Ada kick, kata orang. Aku mengambil sekeping lempeng kosong. Aku mengunyah perlahan-lahan sambil menghayati lempeng buatan tangan Odah. Memang sedap walaupun aku tahu yang selama ni aku tak pernah makan lempeng hatta buatan tangan mak aku sendiri tapi untuk Odah aku rela telan apa saja.
Selepas melantak gila kat rumah orang aku pun minta diri untuk balik. Sepanjang jalan aku asyik tersenyum. Semua orang yang aku jumpa aku senyum dan aku menyapa sapa saja hatta pada kambing yang tengah meragut pun aku senyum sampaikan semua orang yang melihat aku pun naik pelik. Sampai kat rumah aku terus jumpa dengan mak. Rasanya aku tak nak tangguh lagi pasal ni sebab aku takut Odah di kebas orang. Pada mulanya mak memang terkejut beruk. Tapi kemudian mak ketawa bagai nak rak. Ada ke patut mak kata aku buat lawak bodoh pagi-pagi ni. Tak patut langsungkan.
Sebulan dari tarikh aku bercuti, aku pulang lagi kekampung halaman aku lagi, kali ni cuti aku agak berbeza sebabnya aku akan berkahwin, dengan siapa? Dengan siapa lagi kalau bukan dengan Saodah binti Ramli. Gadis yang buat aku jatuh cinta pada suaranya. Bila teringat saat-saat aku mencuri dengar suaranya buat aku tersenyum sendiri. Aku sendiri jadi angau bilamana aku balik semula ke bandar. Rasa rindu pada suara Odah membuatkan hidup aku serba tak kena dan akhirnya inilah keputusan yang paling tepat pernah aku buat. Keputusan aku ni jugak mendapat sokongan yang cukup padu dari kedua orang tua aku. bukankah restu mak ayah itu penting.
Selesai akad nikah, kini aku sudah bergelar suami kepada Odah dan aku harap aku tak lagi mengalami angau dengan suara Odah sebab hari-hari aku boleh mendengar suaranya melainkan kalau aku pekak.
“Bang...ooo...bang....bangunlah dah subuh ni.” Saodah menarik manja ibu jari aku. aku mengeliat. Tak salahkan pilihan aku. aku tak sempat bangun nak kejutkan dia untuk solat subuh, dia dah bangun sendiri. Aku tersenyum puas sambil mengeliat. Selepas Odah keluar dari bilik air aku terus masuk untuk mandi. Keluar dari bilik mandi aku lihat Odah masih tak sembahyang lagi.
“Eh! Tak solat lagi ke? Tanya aku kehairanan.
“Tunggu abang.” Odah tersenyum.
“Tunggu abang, nak buat apa? Satu soalan yang bodoh keluar dari mulut aku.
“Odah nak solat jemaah bersama abang.”
“Ooo....ingatkan apa tadi.” bangga sungguh aku punya isteri macam ni. Selepas solat dan berdoa aku masih berteleku diatas sejadah manakala Odah pulak sibuk mengemas katil. Aku masih lagi menunggu. Menunggu untuk mendengar Odah mengaji macam yang selalu aku dengar ketika aku berjogging. Tapi aku nampak Odah terus keluar.
“Odah....”Odah berpaling seraya menguntum senyuman.
“Ya...abang, nak apa?
“Sinilah.” Odah kembali semula kearah aku.
“Abang nak apa.” Odah bersila sopan.
“Odah tak mengaji ke?
“Kenapa? Odah senyum senget. Nak menguji akulah tu padahal dia dah tahu yang minat sangat kat suaranya yang merdu dan nyaring tu.
“Abang nak dengar Odah mengaji macam yang selalu abang dengar masa dulu.”
“Jadi abang kahwin dengan Odah ni sebab suara Odah ye.”
“Sebahagian dari tulah. Cepatlah, abang ambil Al-Quran ye.” Aku bangun tapi tak sempat nak.....
“Tak payahlah bang.” Odah menahan aku.
“Kenapa?
“Odah tak pandai lagi baca Al-Quran, Odah baru belajar Iqra’.”
“Haa....belajar Iqra’. Habis yang mengaji selama abang dengar tu sapa? Aku dah separuh bengang dengan ayat yang keluar dari mulut Odah, isteri aku.
“Ooo...itu suara nenek Odah, Mak Pah. Odah belajar Iqra’ dengan neneklah, okeylah Odah nak turun bawah masuk nanti apa pulak kata mak abang kalau Odah tak keluar-keluar lagi.” Odah berlenggang keluar dan aku menepuk dahi aku yang ditutupi rambut. Lain yang aku harap lain yang jadi. Nampaknya aku terpaksalah balik kampung lebih kerap tambah-tambah pulak kalau nak dengar suara Mak Pah yang dah jadi nenek aku dan bukannya suara isteri aku, Odah. Nasib badanlah.
No comments:
Post a Comment