Tuesday, October 28, 2008

GULAI AYAM BERSALUT DENDAM,,

GULAI AYAM BERSALUT DENDAM

Masuk tahun ni dah 4 tahun aku menjadi anak angkat Pak Leman dan selama 4 tahun itulah juga Pak Leman mencurahkan kasih sayang yang tak berbelah bagi pada aku berbanding dengan anak-anaknya sendiri. Keadaan ini dah tentulah menambahkan lagi perasaan cemburu yang tidak terhingga dalam hati anak-anak Pak Leman yang lain. Kadang-kadang tu aku rasa nasib aku ni sama aje macam cerita bawang putih bawang merah. Aku sering di pukul, di maki hamun dan bermacam-macam lagi kata-kata nista yang dilemparkan pada aku sampaikan aku sendiri pun tak sanggup nak mendengarnya. Mujurlah ada Pak Leman yang menyayangi aku dan membela aku, kalau tak tak tahulah apa yang akan terjadi pada aku.
Keluarga aku sendiri pun aku tak tahu kat mana diorang berada, yelah dah mereka sanggup serahkan aku pada Pak Leman, buat apa aku nak mencari diorang lagi. Buang karan aje, entah-entah mak bapak aku pun dah mati. Adik beradik aku? Entah aku sendiri pun tak tahu. Tapi aku ni ada adik beradik ke hah? Hari-hari yang aku lalui macam biasa, tiap-tiap pagi aku yang kejutkan Pak Leman untuk bangun sembahyang subuh. Itu pasallah Pak Leman sayang sangat kat aku. Hmm...nak harapkan anak-anak Pak Leman kejutkan sorrylah entah-entah diorang sendiri pun tak bangun sembahyang. Wallahualam.... Tapi itu dululah sekarang ni semua anak-anak Pak Leman dah besar panjang. Semua dah kerja dan ada yang dah kahwin dah beranak pinak pun. Pendek kata semuanya dah berubah yang masih tak berubah adalah sikap diorang pada aku. Masih tak berubah macam tulah juga. Malahan lagi teruk tapi aku malas nak mengadu lebih-lebih pada Pak Leman nanti tak pasal-pasal Pak Leman pulak yang bergaduh dengan anak-anaknya pasal aku.
Sekarang ni aku yang ambil tugas menjaga Pak Leman maklumlah Pak Leman sendiri pun dah tua tak larat mana. Aku pun tak kisah lagipun Pak Leman bukannya cerewet sangat, makan minumnya lebih banyak di kedai kopi Zahar kat simpang jalan masuk kampung aku. Kadang-kadang makanan yang tak habis siap di tapau lagi untuk aku. Aku lagilah tak cerewet. Mana yang Pak Leman bagi semua aku makan. Tolak batu dengan kayu aje. Tapi satu aje yang tak bestnya bila anak-anak dan cucu-cucu Pak Leman balik. Terutamanya musim cuti sekolah. Asal cuti sekolah aje adalah muka-muka diorang. Naik rimas aku di buatnya. Apa? Isteri? Eh! Aku mana ada isteri lagi. Dulu ada jugak girlfriend, namanya Julia tapi yelah belum sempat aku beritahu Pak Leman suruh merisik, girlfriend aku dah meninggal. Kematian dia pun sungguh tragis sekali untuk aku ingatkan. Korang nak tahu, Julia mati kena bunuh, kena sembelih lagi. Masa aku dapat berita tu terasa dunia ni kosong dan tak bermaya lagi. Hampir seminggu aku pengsan dan mengasingkan diri aku dari dunia luar sampaikan Pak Leman sendiri menyangkakan aku jugak mati. Siasatan yang dibuat tak dapat membuktikan sapa yang telah membunuh Julia. Akhirnya pihak polis mengambil keputusan untuk menutup saja kes ni. Aku cuba jugak siasat sapa yang punya kerja tapi hampeh, satu klu pun aku tak jumpa agaknya memang aku ni tak berbakat langsung dalam kerja-kerja menyiasat ni. Selepas kematian Julia hidup aku betul-betul kosong. Masih terbayang-bayang keayuan Julia, senyumannya, ketawanya yang mengekeh-ngekeh mengalahkan pontianak. Ah! Semuanya aku nampak Julia. Kemana-mana saja aku pergi hatta ke rumah kecil pun aku nampak Julia tiada yang lain aku nampak hanya Julia semata-mata. Tapi itu semua dah berlalu. Julia dah takde yang ada hanya Julia Exist itupun dalam radio aje.
Hari Khamis ni, anak-anak beserta cucu-cucu Pak Leman akan balik. Ya Allah boringnya, rasanya tak sanggup aku melalui saat-saat tu. Masih aku ingat, dulu cucunya Pak Leman telah membelasah aku dengan puntung kayu. Kerana apa? Kerana masa tu aku sakit perut. Tak tahan sangat rasanya lantas aku terbuang sampah sarap dalam perut aku atas tangga dapur. Bukan aku sengaja tapi memang tak tahan. Korang faham tak? Ahmad, cucu Pak Leman yang sulung ternampak kejadian tu yang mana aku tak sempat nak bersihkan. Apalagi terus dicapainya puntung kayu api. Pap! Betul-betul atas kepala aku. Aku meraung kat situ jugak. Satu kampung boleh dengar jeritan aku. Mendengar jeritan aku Pak Leman bergegas keluar.
“Ooii.....Apa kebenda yang bising-bising ni hah!” Pak Leman tergesa-gesa berlari kedapur nyaris tak tercabut kain pelikat yang di pakai.
“Kenapa ni Remy? Pak Leman pergi kearah aku bilamana dilihatnya aku tersedu-sedu atas tangga dapur.
“Ahmad, ni yah, dia tibai saya dengan kayu api, sakit sangat rasanya.” Aku mengosok-gosok kepala aku yang berlumuran darah. Peritnya Allah aje yang tahu. Rasa nak pitamlah pulak.
“Ahmad...Ahmad....tak baik buat macam ni, dah pergi mintak maaf dengan Remy.”
“Minta maaf apanya, tu bawah kaki Atuk tu, tengoklah sendiri.” Ahmad menjuikan mulutnya yang memang sedikit terjuih.
“Apa dia? Tanya Pak Leman lagi.
“Atuk tengoklah sendiri hah! Sayang sangat kat Remy tu.” Ahmad berlalu dari situ dengan muka yang masam. Macamana tak masam kalau dah Atuk sendiri asyik membela orang lain berbanding dengan cucu sendiri walaupun dah terang orang tu memang dah salah. Mendengarkan kata-kata Ahmad tadi Pak Leman lantas memandang ke bawah kakinya. Ternyata ada sesuatu yang kurang enak untuk diperkatakan. Hmm...patutlah Ahmad tu marah sangat.
“Astaqfirullahazim..... kau ‘buang’ kat sini rupanya sampah sarap kau. Patutlah si Ahmad tu angin satu badan.” Pak Leman menolak tubuh aku. Bedebup....terpelanting aku jatuh kebawah. Aduh, sakit bukan kepalang. Ni lah yang dikatakan orang sudah jatuh ditimpa tangga, dahlah jatuh tangga hidung cium tahi ayam pulak. Opss.....tapi yang ini bukan tahi ayam tapi tahi aku sendiri.
“Sorrylah ayah, saya tak tahan sangat. Jadi terpaksalah.....” Aku bangun dan mengeliat, sakit pinggang aku. Chewah... macam lagu kumpulan Wayslah pulak.
“Sudah! Jangan nak menyanyi pulak. Kau bersihkan semua ni sampai habis. Pengotor punya budak. Lepas tu mandi kemudian taruk ubat kat kepala tu nanti melarat pulak lukanya.” Pak Leman lantas menuju ke perigi untuk membersihkan kaki yang yang terpijak tahi aku tadi tu. Aku pulak cepat-cepat ke tandas dan kemudian aku cepat-cepat pulak aku bersihkan sisa terbuang aku tu.
Boring...boring...boring...bosan betullah hari ni. Pergi sana bising, pergi sini bising. Naik rimas aku. Untuk meredakan kerimasan aku ni, aku masuk ke bilik aku sendiri. Ah! Barulah nyaman dan aman. Tapi belum sempat aku merebahkan tubuh aku, tengok-tengok anak-anak saudara angkat aku tu lebih dulu lagi masuk kedalam bilik aku. Macamanalah aku tak perasan tadi hah!
“Hoi! Apa ni, takde kerja lain ke hah? Dah..dah..keluar menyibuk aje tak boleh tengok orang senang sikit.” Aku menghalau budak-budak tu keluar dari bilik aku. Itu pasallah aku tak suka diorang ni balik takde privacy langsung.
“Aik....nak halau orang nampak, mujur diri sendiri orang tak halau.” Aku berpaling ke belakang, tak ku sangka rupanya kakak ipar aku ada kat belakang. Bila masa dia terpacul kat situ hah. Bela hantu raya agaknya tapi perkataan yang keluar dari mulutnya memang berbisa. Toing!!! Macam pisau yang terpacak kat atas kepala aku aje rasanya.
“Ooo....Kak Ngah. Saya bukannya marah sangat tapi diorang ni bising sangat. Saya tak biasa bising-bising macam ni.” Aku membela diri aku sendiri tanpa melantik sapa-sapa untuk jadi peguambela aku walaupun aku tahu aku akan kalah dengan kehebatan mulut Kak Ngah yang macam racun berbisa ni.
“Alah....bising-bising pun rumah Atuk dia bukannya rumah orang lain. Biarkanlah. Lainlah macam orang tu, rumah orang lain tapi mengaku macam rumah sendiri. Ajaibkan.” Kak Ngah menjeling kearah aku. Aduh! Rasa macam nak terbakar aje bila aku melihat jelingan mata Kak Ngah. Dan toing!!! Satu kali lagi atas kepala aku.
Suatu malam tu aku terdengar perbualan mereka semua dengan Pak Leman. Sesengguhnya aku terkejut dan kecewa bila mendengar setiap butir perkataan yang keluar dari mulut mereka.
“Ayah, buat apa ayah simpan Si Remy tu dalam rumah ni. Halau aje dia ayah, saya tengok pun buat menyemak aje. Dahlah kerja tak boleh harap satu apa. Buat tambah beban ayah adalah.”
“Tak bolehlah macam tu, dia pun anak ayah jugak kan, samalah macam korang jugak. Lagipun selama ni dia banyak tolong ayah. Selama korang takde kat sini pun memang dia yang temankan ayahkan. Jadi tak bolehlah kau cakap macam tu. Kalau di dengar dek Remy tu, kecik hati dia.” Lincah sekali Pak Leman mengulung tembakau ke dalam rokok daunnya tanpa menghiraukan luahan hati anak-anaknya yang semakin hari semakin tidak senang dengan kehadiran aku. Nasiblah Pak Leman masih nak bela aku, kalau tak.....hish...aku sendiri pun tak nak fikir apa yang akan terjadi kalau Pak Leman mengikut setiap cadangan anak-anaknya.
“ Ah! Biarlah dia dengar ,anak ayah apanya. Si Remy tu cuma anak angkat tak sedar diri pulak tu. Cuba ayah bayangkan sendiri, ada ke patut petang tadi dia marahnya anak saya, kononnya bising. Sapa yang boleh tahan ayah. Orang menumpang nak tunjuk kuasa pulak kat dalam rumah ni.” Kak Ngah nampaknya tak puas hati dengan penjelasan dan pembelaan Pak Leman terhadap aku. Cerita petang tadi pun nak bising. Apa punya oranglah.
“Biasalah tu, Remy tu bukannya biasa suasana bising-bising macam ni. Dah biasa sunyi tiba-tiba bising, marahlah dia. Dahlah janganlah kau nak ambik hati sangat hal budak-budak tu.” Fuh! Nasib baik Pak Leman masih membela aku. Yes!!!ada harapan lagi aku tinggal dalam rumah ni. Tapi aku tahu Kak Ngah takkan berdiam diri. Aku nampak muka Kak Ngah dah merah macam udang terbakar. Tiba-tiba aku nampak Kak Ngah menjeling ke arah aku. Cepat-cepat aku menundukkan kepala aku. Takut siot aku.
“Kalau ayah tak sanggup nak halaunya biar saya saja yang halaunya dari rumah ni.” Tinggi sekali suara Kak Ngah. Apasallah yang dia dengki sangat dengan aku. Kerana marahkan aku sampai sanggup tinggikan suara pada ayahnya. Apa punya anaklah dia ni. Aku tengok adik beradik yang lain marah juga pada aku tapi taklah semarah Kak Ngah pada aku. Jangan-jangan Kak Ngah takut aku nak rampas harta Pak Leman tak.
“Tak boleh buat macam tu, kita dah macam satu keluarga jadi janganlah nak gaduh tak tentu pasal kerana perkara yang remeh temeh macam ni.” Aku dah tak sanggup lagi nak mendengar pergaduhan mulut antara Pak Leman dengan anak-anaknya. Aku kesiankan Pak Leman. Aku berjalan keluar dari rumah tu. Kalau ye aku ni menyusahkan orang biarlah aku keluar dari sini. Aku berjalan dan terus berjalan sampaikan aku sendiri pun tak tahu kemana arah dan tujuan perjalanan aku ni. Setelah merasa sedikit penat aku berhenti di sebuah rumah. Aku lihat masih ada lampu yang menyala. Mungkin jugak penghuni rumah ni masih belum tidur agaknya sebab kedengaran sedikit bising dia atas rumah. Aku tak menghiraukan semua tu apa yang aku hiraukan sekarang adalah diri aku sendiri yang tak tahu kemana aku nak bawa hati aku ni.
Aku bertenggek di kaki tangga bawah rumah besar ni. Aku memerhati sekeliling. Seolah-olah macam aku kenal tempat tapi dimana ya. Ah! Malas nak fikir pasal ni yang penting aku dah jauh dari rumah Pak Leman. Dalam aku termanggu-manggu akhirnya aku terlelap jugak. Sampai bersenar dengkur aku. Maklumlah letih sangat rasanya bila dah jalan jauh ni. Tengah syok layan mimpi, tiba-tiba PAP!!!!! Batang kayu hinggap di belakang aku.
“ADOOIIIIII.......Aku menjerit dengan sekuat tenaga aku. Macam nak remuk tulang belakang aku. Sapalah yang punya kerja ni. Kalau ye pun tak suka aku tumpang tidur kat kaki tangga ni tapi jangan buat aku macam ni. Seksa woo....aku membuka mata aku untuk melihat sapakah yang empunya kerja yang terkutuk ni. Haa.... hampir melopong mulut aku bila melihat tuan empunya badan yang telah memukul aku. Rupanya Kak Ngah yang tibai aku, jadi aku masih berada di rumah Pak Leman lagilah. Sedangkan semalam rasanya dah jauh sangat aku berjalan. Cis...dan cis... buat penat aku aje berjalan. Kalau tahu tak payah aku susah-susah tidur atas tangga ni dah lah sejuk banyak nyamuk pulak tu.
“Hoi!!....dah buang tabiat nak mampus ke hah!. Apasal tak tidur dalam bilik, dah miskin sangat ke bapak aku sampaikan tak mampu nak sediakan bilik untuk kau.
“Sorrylah Kak Ngah, saya tertidur kat sini. Takpelah kalau macam tu saya masuk tidur kat dalamlah”
“Apa tidur-tidur lagi, banyak cantik muka kau, tu banyak lagi kerja yang nak kena buat. Kau ingat ayah aku sayangkan kau, kau tak payah buat kerja ke? Jangan nak mimpilah. Pergi belakang.” Kak Ngah mencekak pinggangnya yang seramping pinggang badak air yang tengah naik badan. Apalah punya orang serba tak kena aku dibuatnya. Itu baru aku nak melangkah masuk tak masuk lagi, kalau dah masuk aku tak tahulah apa yang akan berlaku. Ah! Tension betullah aku tinggal kat sini. Itu tak boleh, ini tak boleh habis tu apa yang boleh, Malaysia Boleh kot..
Malam tu aku terdengar Kak Ngah buat pakatan jahat dengan Abang Long dan anak-anaknya. Tapi disebabkan suaranya yang terlalu perlahan jadi aku tak tahu apa yang diperkatakan oleh Kak Ngah. Entah-entah diorang sedang mengumpat pasal aku tak. Sapa taukan. Hati aku pulak dari sejak petang tadi asyik berdebar aje. Entah apalah yang akan berlaku esok hari. Dalam dok fikir-fikir akhirnya aku terlelap jugak dan aku sendiri tak tahu lagi apa yang sedang diorang fikirkan. Lantak diorang. Aku tersedar dari tidur. Rasanya dah lewat pagi sangat ni. Aku cuba bangun tapi aku rasa tangan dan kaki aku terikat. Apa sebenarnya yang sedang berlaku ni. Aku cuba meminta tolong tapi sayangnya mulut aku juga telah disumbat dengan kain. Kejam sungguh sapa yang telah memperlakukan aku sedemikian. Tak sanggup rasanya aku menghadapi semua ni. Aku cuba meronta namun sayangnya ikatan yang membelenggu aku begitu kuat untuk aku huraikan. Dalam dok aku meronta-ronta, aku nampak Kak Ngah dan Abang Long menuju kearah aku. Mereka tersengih-sengih dengan gaya yang cukup mencurigakan. Ya!Allah sakitnya hati aku melihat sengihan Kak Ngah dan Abang Long yang macam kerang yang memang dah busuk sangat. Sanggup mereka buat aku macam ni sedangkan aku dah lama tinggal dengan mereka.
“Cepatlah Long, nantikan ayah balik pulak. Kalau ayah dah sampai nanti susahlah pulak ingat senang ke nak dapat peluang macam ni.” Kak Ngah menuju ke arah aku. Aku ditarik keluar dari bilik aku sambil tangan Kak Ngah tak henti-henti menghempuk kepala aku. Satu kepuasan terpancar pada muka Kak Ngah bila dapat memukul kepala aku tanpa dilawan oleh aku. Aku sebenarnya memang pantang kalau orang main kepala aku. Ni nasib tangan dan kaki aku terikat kalau tak nahas rasanya Kak Ngah aku kerjakan. Kejam sungguh manusia yang bernama Kak Ngah ni. Apalah salah aku.
“Hah! Cepatlah Ngah, semua dah ready ni.” Aku lihat Abang Long menayang-nayangkan pisau yang tajam berkilat di depan mata aku. Ya! Allah apa yang sebenarnya sedang berlaku ni kalau ye pun diorang marah aku pasal kes aku marahkan anaknya takkanlah diorang ni sanggup jadi pembunuh.
‘TIDAK! TIDAK!’ aku ingin menjerit dan meraung tapi sayang dengan mulut yang terikat aku tak mampu untuk berbuat apa-apa. Aku cuba meronta lagi tapi sayangnya langsung tak berjaya. Benci sungguh aku melihat ketawa Kak Ngah dan Abang Long yang mengetawakan aku kerana aku tak berjaya menyelamatkan diri aku. Dalam saat macam ni mengharapkan keajaiban berlaku ataupun paling kurang aku harap agar Pak Leman muncul tapi sayangnya itu semua angan kosong yang tak mungkin berlaku. Akhirnya abang dan Kak Ngah telah berjaya membunuh aku. Aku telah selamat disembelihkan untuk hidangan makan tengahari mereka sekeluarga. Tak sangka sungguh kejam mereka berdua ni. Tapi takpa aku takkan biarkan diorang hidup dengan aman. Aku akan balas dendam atas apa yang diorang telah lakukan pada aku hari ni. Tunggulah pembalasan dari aku. Tunggguuuu........
Bukan main lagi diorang masak aku. Siap buat gulai lagi. Jamu satu keluarga pulak tu. Makanlah dan jamulah sepuasnya selepas ni kau taulah nasib korang. Hidangan makan tengahri telah siap di sediakan tambahan pulak Pak Leman baru aje balik dari bandar dengan Abang Ngah. Patutlah Pak Leman takde kat rumah rupanya diorang dah rancang semua ni. Takpe..takpe...ada lori ada bas...
“Eh! Ada gulai ayam, mana dapat ayam ni? Hmm... bagus jugak, ayah pun dah lama benar tak makan gulai ayam.” Cepat aje Pak Leman mencedok kuah gulai kedalam pinggannya. Pak Leman menghirup kuahnya. “Hmm....sedapnya”
“Sebab dah lama ayah tak makan tu yang kitorang masak ni. Kalau sedap ayah makan banyak sikit ye. Lagipun lepas ni kita semua dah nak balik nanti tak dapatlah pulak ayah nak rasa masakan Ngah lagi, cuti sekolah pun dah nak habis” Kak Ngah tersenyum macam kerbau aje bila dipuji oleh Pak Leman.
“Eh! Remy mana? Dari tadi tak nampak bayang. Panggil dia makan sekali.” Pak Leman baru menyedari ketiadaan aku selepas dah melantak 2 pinggan nasi berlaukkan aku. Aduss...sadis sungguh rasanya.
“Alah ada kat belakang tu, asyik merayau aje bukan ada kerja buat pun. Biarlah kejab lagi taulah dia nak makan.” Kak Ngah menjuihkan mulutnya.
“Eh!.... Eh!...peha tu saya nak.” Pantas aje Kak Ngah mencapainya sebelum sempat diambil oleh Pak Leman. Pak Leman hanya mengelengkan kepala melihat betapa pelahapnya anak perempuannya ni. Bukan main pelahap lagi Kak Ngah makan aku. Nantilah. Tiba-tiba aje Kak Ngah tersedak-sedak sambil menekan-nekan perut dan menunju ke arah mulutnya. Kak Ngah tak dapat bercakap lagi. Suasana bertukar menjadi riuh-rendah sekali, Kak Ngah diangkat untuk dibawa ke hospital tapi sayangnya Kak Ngah dah meninggal manakala abang Long pulak mengelupur sakit perut yang tidak terhingga sampai muntah hijau dan cirit buih lagi. Abang Ngah pulak ternganga tidak terkata apa-apa. Macamana tak kata apa-apa sebab Abang Ngah dah kena stroke. Padan muka diorang. Puas hati aku. Itulah balasannya orang yang jahat. Kan aku dah kata aku ni berdaulat. Tulahlah tu.
Kak Ngah meninggal kerana tercekik peha ayam (peha akulah tu) yang diorang tengah berebut tu. Sebenarnya aku yang rodok sampai tercekik. Abang Long pulak aku yang tendang perutnya bila Abang Long makan kaki aku. Sesak nafaslah tu bila aku menjolok jantungnya. Abang Ngah bukan kena stroke tapi terperanjat bila melihat kelibat aku yang masih ada dalam rumah ni. Akhirnya dendam aku terbalas jugak. Sakit hati aku masih lagi bersisa walaupun aku hampir habis dimakan. Pak Leman mengeleng-geleng kepalanya bila mengetahui rancangan jahat anak-anak dan menantunya. Kesian Pak Leman. Aku tengok dia asyik termenung aje. Makan pakai dah tak dihiraukan lagi asyik termenung aje tapi itupun tak lama. Selepas itu Pak Leman dah tak menung lagi sebab Pak Leman dah dapat penganti aku yang lagi cun dari aku tapi penganti Pak Leman ni bukannya ayam macam aku tapi spesis sama macam Pak Leman. Benci aku.....tambah benci lagi bila dengar Pak Leman asyik mengekek aje suka tak kira siang dan malam. Hampeh.... ingatkan orang tua ni meninggallah ingatkan aku tapi setengah hari aje termenung.
“Yang....esok Yang masak gulai ayam yang macam arwahnya anak abang masak dulu...gulainya sedap sangat.” Suara Pak Leman buat aku meraung sekuat hati aku. Sampai hati Pak Leman. Ingatkan Pak Leman sayangkan aku tapi.... Waaa......

1 comment:

9n0L4 said...

haha. sadis ngat cite ni. ade ke mkn gulai org.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...